USUL TERGEMPAR: Tubuhkan Suruhanjaya Bebas DiRaja siasat pengambilan secara haram kerajaan Perak
2:56 PMSun | Jun 07, 09 | 12:01:12 pm MYT
SHAH ALAM, 7 Jun (Hrkh) - Satu usul tergempar mendesak penubuhan Suruhanjaya Bebas Diraja siasat pengambilan secara haram kerajaan Pakatan Rakyat Perak diterima sebulat suara.
Usul yang dibawa oleh PAS Kawasan Tambun, Perak itu diterima untuk dibahaskan setelah menyedari tindakan Umno/BN merampas kerajaan Pakatan Rakyat Perak merupakan perbuatan yang biadap dan tidak menghormati suara rakyat.
Perwakilan Perak, Dr Khairuddin Abdul Malik yang juga bendahari PAS Perak ketika membawakan usul tersebut menegaskan perlunya penubuhan suruhajaya tersebut bagi menyiasat perbuatan Umno/BN yang merasuah wakil rakyat bagi membolehkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak.
"Kami mencadangkan usul tergempar ini kerana tidak mahu lagi peristiwa yang berlaku di Perak berulang dinegeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain.
"Kerana itu kami mendesak supaya Suruhanjaya Bebas DiRaja perlu segera ditubuhkan bagi menyiasat perbuatan rampasan kuasa itu," tegas Dr Khairuddin.
Kerajaan tegas beliau perlu segera menubuhkan suruhanjya ini bagi membolehkan segala perbuatan tidak bermoral yang dilakukan untuk merampas kerajaan Pakatan Rakyat Perak dapat didedahkan kepada umum.
Usul yang dibawakan itu disokong sepenuhnya oleh PAS Kawasan Shah Alam dan juga Dewan Pemuda PAS Pusat melalui perwakilan mereka yang membahaskan usul tersebut.
Perwakilan Shah Alam, Khalid Samad yang membahaskan usul tersebut menegaskan, penubuhan suruhanjaya tersebut perlu disokong tanda penolakan terhadap Umno/BN.
Beliau juga menyeru semua perwakilan supaya tidak mudah terpedaya dengan agenda yang dimainkan Umno/BN yang cuba memerangkap dengan tawaran-tawaran yang amat menarik.
Selain Khalid, perwakilan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Dzulkifli Ahmad juga menyokong penuh usul tergempar yang dibawa oleh PAS Kawasan Tambun dan menolak sebarang kerjasama dengan Umno. - mns_
http://www.harakahdaily.net
BN masih anggap rakyat bodoh, mudah ditipu
8:44 PMFri | May 29, 09 | 12:49:25 pm MYT
Tidak seperti semua pilihan raya kecil yang pernah dialui oleh rakyat Malaysia sejak demokrasi diperkenalkan di negara ini, kawasan Dun Penanti sepi.
Tiada jentera pembinaan yang sibuk di sana sini menurap jalan. Tiada perasmian balai raya, sekolah, masjid dan surau. Tiada menteri dan pemimpin kerajaan Pusat yang turun bagai Santa Claus mengagih pelbagai hadiah untuk rakyat.
Setiap kali berlangsung pilihan raya kecil (sebelum ini) pelbagai projek pembangunan dan bantuan diagihkan untuk rakyat. Apabila pemimpin Pakatan Rakyat mempersoalkan mengapa projek tersebut turun hanya di musim pilihan raya, dengan cengilnya mereka menjawab: "Ini tuduhan liar yang dilemparkan oleh pihak pembangkang. Sebenarnya pembangunan untuk rakyat sentiasa berterusan; sebelum, semasa dan selepas pilihan raya pembangunan tetap ada. Takkanlah haya kerana berlangsung pilihan raya maka rakyat disekat untuk menerima pembangunan? Ini tidak adil." Molek dan muluk sekali bunyinya. Cakap mengalahkan peguam.
Dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu lalu, apabila diajukan persoalan yang sama, jawapan yang diberi oleh seorang pemimpin BN ialah, "Sebenarnya semua projek itu sudah dirancang sejak lama, cuma secara kebetulan ia diadakan sewaktu pilihan raya."
Lucunya, selepas berakhir pilihan raya dan BN tersungkur, semua 'projek kebetulan' itu secara kebetulannya pula berakhir. Nah, sekarang apabila BN tidak sertai pilihan raya kecil Penanti, mana pula projek-projek yang telah dirancang dari awal serta projek-projek 'kebetulan' itu?
Satu perkara yang menyebabkan BN ditolak rakyat ialah sikap pemimpinnya yang tidak pernah berubah. Salah satu perangainya ialah apabila bercakap mereka seolah-olah menganggap semua rakyat bodoh belaka.
Apabila BN diajukan soalan mengapa tak bertanding di Penanti, mereka menjawab kononnya untuk elakkan pembaziran dan tidak mahu terperangkap dengan mainan politik KeADILan. Mereka fikir rakyat tak tahu bahawa sebenarnya mereka takut kalah.
Apabila beberapa pemimpin kaum India dibebaskan dari tahanan ISA sewaktu berlangsung pilihan raya kecil Bukit Selambau dan Bukit Gantang, media tali barut BN menyiarkan komen, terutama dari kaum India, yang memuji muja kerajaan BN kononnya baik hati. Tapi hakikatnya mereka hanya mahu mengambil hati 30 peratus pengundi India di Bukit Selambau.
Adun Kota Alam Shah, Manoharan dibebaskan daripada ISA bersama beberapa pemimpin Hindraf beberapa hari selepas isteri beliau membuat sidang media memaklumkan bahawa Manoharan akan meletakkan jawatan kerana tidak dapat memberi sumbangan untuk rakyat akibat dikurung.
Macam isu sebelumnya, media tali barut BN memuji Najib sebagai seorang pemimpin berjiwa besar kerana sanggup membebaskan musuh-musuh politik BN. Walhal, semua rakyat tahu bahawa BN takut Manoharan benar-benar letak jawatan yang menyebabkan berlaku pilihan raya kecil.
Begitu juga, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Fairus Khairudin yang terpalit dengan isu 'rasuah' yang dimainkan oleh BN, tiba-tiba dibersihkan oleh SPRM. Semua tahu bahawa tujuan pembersihan itu ialah supaya Fairus menarik balik surat peletakan jawatannya, demi mengelakkan pilihan raya kecil.
Professor Dr Ahmad Atory Hussain, seorang pensyarah pro-BN menyifatkan kesediaan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz untuk menerima orang bukan Melayu, asalkan dia Islam, untuk menjadi Menteri Besar, adalah satu usaha untuk memikat pengundi bukan Melayu dalam pilihan raya kecil Manik Urai.
Mentang-mentang dia pensyarah, dia ingat boleh tipu orang lain dengan kenyataan tidak logiknya itu. Penduduk bukan Melayu Manek Urai tidak sampai 1 peratus, apa yang nak ditarik?
Dalam 'menjelaskan' isu Perak, pemimpin BN memberitahu bahawa tiga Adun Pakatan Rakyat yang melompat menyokong BN bukan kerana diculik, diugut dan dirasuah tapi atas keikhlasan sendiri. Anehnya mengapa mereka hilang, tak dapat dikesan sampai beberapa hari?
Takkanlah tiga "haprak" tersebut sengaja mencari masalah, dicaci oleh masyarakat serta dihina oleh pengundi. kalau tidak kerana imbuhan tertentu.
Semua episod pembohongan pemimpin BN terhadap rakyat tidak pernah berhenti.
Najib mengisytiharkan bahawa zaman di mana kerajaan (BN) tahu segala-galanya sudah berlalu. Tapi nampaknya zaman di mana kerajaan (BN) menganggap semua rakyat bodoh-bodoh belaka dan boleh ditipu, belum lagi berakhir._
BTN digunakan untuk tegakkan benang basah kerajaan
8:41 PMFri | May 29, 09 | 4:09:16 pm MYT
Jamaiy sangat kesal apabila mendapat aduan daripada beberapa orang kakitangan Kerajaan yang baru pulang dari menghadiri kursus � Biro Tata Negara (BTN) hujung minggu lepas. Antara perkara-perkara yang diketengahkan lewat kursus tersebut adalah perkara-perkara berikut:
i) Tun Abdullah Badawi adalah Perdana Menteri yang lemah dan Malaysia tercicir dalam aspek pembangunan di zaman Pak Lah. Berbanding zaman Dr. Mahathir yang kononnya hebat dan pemerintahan Dato' Najib sekarang akan mengembalikan era kegemilangan Dr. Mahathir.
ii) Isu pembunuhan Altantuya tiada kaitan dengan penggunaan C4 dari simpanan Kerajaan kerana kononnya C4 boleh dibeli dari sumber-sumber lain.
Yang dipertikaikan adalah kenapa BTN membazirkan wang rakyat hanya bagi menegakkan benang basah. Hanya setahun yang lepas Dr. Mahathir dicaci dan Pak Lah disanjung tetapi sekarang sudah terbalik. Apa piawaian yang diguna untuk menentukan kebenaran atau kebaikan. Tidakkah lakonan seperti ini menghina bekas Perdana Menteri dan mengelirukan rakyat.
Tentang C4 boleh dibeli ditempat-tempat lain. Jasad Altantuya diletupkan menggunakan C4 oleh Pegawai-Pegawai Polis UTK pengawal Dato' Najib. Pembunuhan oleh mereka tidak bermotif. Pelik dan ajaib. Takkan Polis yang gaji tak sampai RM1,500 sebulan nak habiskan duit kocek mereka nak beli C4. Kalau benar C4 boleh dibeli di luar maknanya Negara kita dalam bahaya. Adakah BTN ingin menjadikan Pegawai-Pegawai Kerajaan yang hadir kursus menjadi bodoh dan dungu dengan �ceramah-ceramah politik� kosong tanpa fakta.
Jangan bazirkan wang rakyat. Kami pembayar cukai tidak rela kerana masih ramai orang miskin, ibu tunggal dan OKU yang boleh di bela dengan duit peruntukan BTN tersebut.
Dr Hj Khairuddin Dato' Abd. MalikPengerusi Jamaaiy Negeri Perak
http://www.harakahdaily.net
Anak-anak pondok Penanti bersedialah...
8:39 PMFri | May 29, 09 | 3:44:03 pm MYT
Mukanya bersih, cerah dan tenang. Sesekali tersenyum menampakan keramahan dan kesantunan. Begitulah sekali imbas kelibat anak-anak didik sekolah pondok di Penanti yang berada di dalam masjid tatkala menunggu azan maghrib berkumandang.
Sesekali terfikir, kasihan melihat masa depan mereka ketika berada di 'luar' sana. Bukan kerana tidak ada masa depan dan ilmu yang ditatang tidak boleh dijadikan panduan. Tetapi cabaran, asakan bertubi-tubi dan godaan maha dasyat menanti penuh bahaya di luar 'dunia' mereka.
Di Penanti, di pondok-pondok sana sini, mereka masih 'selamat'. Mungkin dua tahun atau paling lama lima tahun. Itu jaminan yang ada namun setelah menjejak kaki ke luar, dari pelbagai penjuru 'musibah' menunggu.
Tidak hairanlah, ketika Anwar Ibrahim menyampai tazkirah di masjid Penanti 23 Mei lalu di hadapan anak-anak pondok Penanti yang taat mendengar, beliau mengingatkan golongan muda supaya menguatkan keimanan dan mohon dilindungi Allah SWT agar terpelihara daripada sebarang bentuk kezaliman dan godaan nafsu syaitan, seiring petunjuk yang dianjurkan al-Quran dalam Surah al-Kahfi.
"Pemuda-pemuda kuatkan iman dan aqidah. Tuhan pasti akan melindungi anda seperti kisah pemuda yang diselamatkan oleh Allah daripada kekejaman kerajaan pada masa itu," nasihat Anwar sambil imam muda Ustaz Shamsul Firdaus Al-hafiz mengangguk setuju.
Ustaz Shamsul adalah imam yang telah pecat daripada Masjid Saidina Omar Al Khattab, Bukit Damansara kerana 'menasihati' kerajaan supaya berlaku adil dan kelantangannya menentang kezaliman. Terlucut jawatan, awal bulan ini. Heboh seluruh negara.
Ya, anak-anak pondok Penanti...itulah antara harga yang perlu dibayar, apabila apa yang dipelajari di pondok-pondok, diterjemahkan di luar sana. Itu hanya secubit saja.
Luar sana, tidak sama seperti di pondok. Pondok tertib dan ada aturannya. Bangun sebelum subuh, baca surah-surah sampai solat fardu. Kemudian baca-baca lagi, hafal apa yang patut. Kemudian makan pagi. Lepas itu kuliah sampai Zohor. Lepas makan dalam talam, tidur sekejap - sunat. Sambung balik belajar sampailah malam. Itulah rentasan masa selama lima tahun di pondok. Ilmu dapat, pahala juga dapat. Mudah dan tiada gangguan.
Kalau lebih berdikari dan berjimat, terpaksa masak sendiri. Tidur dalam pondok yang muat-muat lunjur dua tiga orang. Makan dalam talam penuh selera walaupun seekor ikan kembung berkongsi empat dan nasi menimbun umpama 'mamat Bangladesh' menjamu selera selepas penat bertukang buruh.
Dulu, ketika sempat melintasi pelajaran pondok di selatan tanahair Maahad Itibba As-Sunnah namanya, kembang anak tekak saya ketika mula-mula diajak makan dalam talam. Mereka ketawakan saya. Sebenarnya itu sunnah dan menguatkan kasih sayang serta ukhuwah. Tak percaya...cubalah!
Tetapi kini, itulah antara kenangan paling bermakna dalam hidup saya. Berselera sungguh makan dalam talam. Nikmat yang tak terkata selagi, tidak mencuba. Walaupun uzur lauk pauk, tetapi kenyang berkat.
Oh, ya...bagi sesiapa yang makan dalam talam ketika itu, jika sesiapa yang 'cop' kepala ikan untuk diratah, maka 'harga' yang perlu dibayar ialah mencuci talam itu. Itu antara hiburan anak-anak pondok saat itu.
Bila malam, saya yang lebih nakal daripada yang lain, menyusup kampung mencari ayam berkeliaran untuk disembelih. Dengan bantuan rakan yang lebih pantas, dan cekap, ayam seekor dapat ditangkap. Sebelum sembelih, saya pekup kuat-kuat mulut (paruh) ayam itu supaya ianya tidak 'menjerit' meminta tolong. Kemudian ceritanya 'happy ending after'...ayam tadi dibuat sup dan kami sama-sama meratah, kerana terlalu lapar.
Itu 'hiburan' dan kenakalan usia anak-anak pondok tetapi masih 'selamat.' Tidak di luar sana. Cukup hebat sampai hancur-berkecai ilmu yang dibajai.
Sujud di kaki sejadah, tersungkur di kaki betina
Sewaktu menghirup udara nyaman dan membuat liputan di Penanti, saya dan sahabat Wan Nordin terasa sayu melihat masa depan mereka yang mungkin belum lagi teruji dengan asakan keduniaan yang cukup 'menyesatkan'. Bukan semua tetapi cukup untuk melunturkan iman. Bukan bermakna kami sudah diuji atau berjaya mengatasi malah kami juga sedang melintasi ranjau duri kehidupan duniawi.
Adakalanya istiqamah, 'maintain'. Ada masa culas. Ada masa malas. Ada masa kami mundur dan ada ketikanya kami bangkit balik. Sentiasa pasang surut dan melawan. Kami masih diuji dan banyak kali juga kami 'fail'.
Di dunia luar, tidak mungkin selalu ada makanan dalam talam. Mungkin sepahan ganja, rochee dan syabu jadi hidangan. Mungkin, gedik-gedik santai perempuan jadi teman sembang tengah malam.Bukan lagi solat dan sujud di kaki sejadah.
Bukan untuk memburukkan, menakutkan atau menggalakkan. Tetapi ada realitinya di sana. Ada yang tersungkur di kaki betina dan muntah arak.
Ya bukan semua, tetapi hati-hati jika terleka. Bukan saya maksum tetapi berkata-kata dari hujung pengalaman derita dan kawan-kawan yang mempermainkan ayat-ayat Allah Ta-ala.
Mereka ini ada yang jauh lebih tingginya ilmu agama daripada saya yang sepicing ini, tetapi berani menjadi 'free thinker', melawan tuhan dan melayan nafsu sebuasnya.
Ya, adakalanya mereka terkejut benar, 'dunia' pondok mereka amat berbeza dengan dunia sebenar. Wang, kuasa dan wanita jadi hajat dicita ulam mendatang.
Jika ada yang kuat semangat, kemudian kuat berdakwah lalu kuat mengkritik maka tidak semena-mena anda tidak ke mana. Mungkin dipecat jawatan atau jauh lebih hebat berteleku di katil penjara, seperti Anwar atau seperti Nizar, dihalau, dirampas kuasa dan difitnah merata.
Bercakap benar begitu mahal harganya. Bercakap benar bercampur nista, mungkin dapat hidup selesa di 'singgahsana'.
Jika anda lemah semangat, sangat senang merasuah, dirasuah, mudah 'meratah' nafsu serakah dan ribut kuasa serta harta, barangkali sebelah kaki sudah ditempah di neraka. Oleh itu pilihlah.
Saya juga hampir 'terbungkus' di tengah jalan, tetapi 'diselamatkan' Allah lalu ditempatkan di Harakah. Itu juga belum tentu terjamin. Barangkali ujiannya juga tak tertanggung.
Buat anak-anak pondok Penanti, sebenarnya pilihan raya kecil esok lusa ini, adalah 'Universiti' terbaik untuk menilai watak manusia dan pancaroba. Watak-watak lakonan atau yang berjurus ikhlas berjuang semuanya sudah 'berkampung' di depan mata anak-anak pondok Penanti.
Yang berjanji dan menyanyi lagu-lagu dendang hati rakyat serta peluru tabur fitnah sengketa, menjadi halua telinga buat anak-anak pondok Penanti. Perhati dan nilaikanlah.
Semaklah kitab, buku, al-Quran dan Hadis atau nasihat kuliah ustaz. Sebenarnya, apa yang yang dipelajari, semuanya terpampang di Penanti menjelang tempoh mengundi.
Bukalah mata, bukalah hati.
Itu semua adalah watak-watak, susuk-susuk tubuh dan aksi-aksi yang pernah disebut Tuhan di dalam al-Quran. Sebenarnya itu hanya secebis. Dunia luar sana lagi maha hebat. Umpama halilintar menembus iman. Berhati-hatilah.
Maka bersedialah anak-anak pondok Penanti...
AMK bantah ceramah Umno di Penanti
8:37 PMFri | May 29, 09 | 4:15:32 pm MYT
PENANTI, 29 Mei (Hrkh) - Akibat terlalu teringin berceramah sempena Pilihan raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti akhirnya Umno terpaksa berhadapan dengan satu laporan polis oleh Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Bahagian Permatang Pauh petang semalam.
Laporan polis dibuat oleh Ketua Penerangan AMK Bahagian, Shukri Hamid di Balai Polis Penanti bersama Timbalan Ketua AMK Pusat, Faris Musa dan rombongan kira-kira 10 orang.
Menurut Shukri, Umno bertindak begitu untuk memberi penjelasan kepada ahlinya kenapa mereka tidak sertai pilihan raya kecil Penanti pada 31 Mei ini.
"Jentera parti menjumpai satu sepanduk yang tertera nama penceramah Lokman Nor Adam, Haji Abdullah Bahari dan Ustaz Kamal Saidin dengan tajuk Kenapa BN tidak sertai pilihan raya kecil N12 Penanti," tegasnya pada wartawan.
Dalam sepanduk itu juga tertera lokasi dan tarikh iaitu ceramah di Bangunan Umno Permatang Pauh, Dewan Kuala Mengkuang dan Dewan Guar Perahu bermula 26, 27 dan 28 Mei lepas.
Menurut Shukri lagi, Umno dan BN tidak wajar bertindak mengadakan ceramah di Dun Penanti ekoran mereka tidak menyertainya tambahan lagi ketidakmasukan Umno dan BN lebih tenang dan aman.
"Nyata sekali Umno begitu 'gian' untuk berceramah kerana tidak tahan dengan belasahan Pakatan Rakyat setiap malam. Kita tetap belasah kerana BN zalim dan tidak menghormati perlembagaan," ujar beliau seterusnya. - mns_
Menteri Besar arah kerja merobohkan bangunan dihentikan segera
8:32 PMFri | May 29, 09 | 5:54:41 pm MYT
SHAH ALAM, 29 Mei (Hrkh) - Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan semua kerja merobohkan bangunan Jaya Supermarket dihentikan serta merta bagi membolehkan siasatan dijalankan untuk mencari punca berlakunya tragedi runtuh sehingga mengorbankan nyawa.
Dato' Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, hanya kerja-kerja mencari dan menyelamat lima pekerja Indonesia yang masih hilang saja dibenarkan.
Menurut beliau, keputusan itu sudah dibuat setelah unit kejuruteraan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (DOSH) dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) memberi taklimat dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pagi tadi.
Katanya, MBPJ juga sudah diarahkan supaya memastikan jentera-jentera yang digunakan dalam kerja merobohkan bangunan tersebut tidak dibenarkan dibawa keluar.
Pihak IKRAM sudah diberi masa selama satu minggu untuk melaporkan siasatan dalam mesyuarat MTES.
Kerajaan Negeri juga sudah mengarahkan supaya pihak MBPJ dapat memastikan semua jenazah-jenazah mangsa diuruskan dengan baik mengikut adat serta agama masing-masing, tegas beliau.
Beliau berkata, MBPJ juga mungkin berurusan dengan semua kedutaan yang terlibat bagi memastikan semua sanak-saudara mangsa mengetahui status kejadian di samping mengeluarkan kenyataan memohon maaf serta ucapan takziah kepada semua mangsa.
Kawalan keselamatan sudah dilakukan di seluruh kawasan kejadian bangunan runtuh bagi memastikan keselamatan penduduk setempat, tegas beliau.
Dalam pada itu tambah beliau, risalah-risalah berhubung kejadian serta kaunter informasi mungkin diwujudkan di kawasan kejadian bertujuan memberi maklumat kepada orang ramai serta keluarga mangsa yang terlibat berhubung kejadian.
Melalui taklimat mengenai kejadian runtuhan bangunan Jaya Supermarket hari ini, Kerajaan Negeri mendapati terdapat kelemahan garis panduan yang serius dalam kerja-kerja merobohkan bangunan tersebut, katanya.
Beliau menegaskan kelemahan itu harus diperbetulkan secepat mungkin supaya tragedi tersebut tidak berulang dan rancangan pembangunan di Negeri Selangor tidak terganggu./SH _
PAS yakin peluang pertahankan Dun Manek Urai cerah
8:31 PMFri | May 29, 09 | 6:35:12 pm MYT
KUALA KRAI, 29 Mei (Hrkh) - Biarpun tarikh pilihan raya kecil Dun Manek Urai lebih sebulan lagi, namun PAS sudah memulakan gerak kerja jentera pilihan raya secara rasmi hari ini.
Pelancarannya disempurnakan Pesuruhajaya PAS Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bertempat di bangunan Pasti, Kampung Baru Manek Urai petang ini.
Biar pun pancaran terik matahari melimpah di atas kepala namun ia tidak menghalang orang ramai hadir.
Hadir sama Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato' Takiyuddin Hassan, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Haji Abdul Fatah Harun, anggota-anggota Exco dan wakil-wakil rakyat.
Tiga lembu dikorbankan bagi jamuan orang ramai. Kehadiran yang luar biasa itu menyebabkan ramai tidak sempat menjamah juadah disediakan.
Manakala malam ini difahamkan Umno juga mengadakan program di kampung sama yang akan dihadiri Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Mustapa Mohamed bertempat di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru.
Biar pun agak kurang sihat, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap berucap merasmikan pelancaran jentera tersebut.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata, tiada sebab pengundi menolak PAS memandangkan pembangunan yang dicanang Umno juga berlaku di Kelantan sama seperti di negeri-negeri lain.
"Umno dan PAS berbeza. PAS menekankan aspek dosa pahala dan segala kerja buat akan mendapat ganjaran di dunia dan akhirat. Bagaimanapun Umno hanya terhenti setakat dunia sahaja.
"Sebab itulah biar pun tugas kita sekadar memasang poster, namun ganjarannya besar akan diberi pahala kerana hasrat kita mahu mendaulatkan Islam," katanya.
Menurutnya Kelantan biar pun hampir 20 tahun diterajui PAS namun pembangunan tetap juga berlaku.
"Begitu juga dengan negeri-negeri lain yang diterajui Pakatan Rakyat sekarang iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Kedah juga berlaku arus pembangunan biar pun Umno dan BN tidak lagi menerajui negeri berkenaan," katanya.
Menurutnya sejak menerajui Kelantan pelbagai usaha sudah dilakukan bagi mendaulatkan Islam termasuk memindahkan wang dari bank konvensional ke Bank Islam sehingga ia menjadi ikutan ramai sekarang.
sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas itu Takiyuddin berkata, operasi jentera pilihan raya PAS bagi pilihan raya kecil tersebut bermula secara rasmi hari ini.
Kata beliau juga esok akan bermula proses meneliti secara terperinci cadangan nama-nama calon yang akan diketengahkan bagi mewakili PAS mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil 14 Julai depan.
Beliau berkata, cadangan nama-nama calon itu akan diangkat kepada Badan Perhubungan PAS negeri sebelum diserah untuk mendapat pertimbangkan PAS Pusat.
Ditanya mengenai kemungkinan calon yang diketengahkan katanya ada di antara merupakan tokoh tempatan dan yang tinggal di luar kawasan pilihan raya.
"Calon-calon terbabit memang berkelayakan, malah kalau hendak dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri pun mereka ada kelayakan," katanya.
Mengenai peluang memenangi pilihan raya tersebut kata beliau harapan agak cerah memandangkan pada pilihan raya umum tahun lepas undi popular yang diraih PAS di Manek Urai lebih 55 peratus.
Malah katanya, pada pilihan raya umum 1999 PAS mencapai undi popular sehingga 60 peratus.
Beliau juga yakin penduduk akan memberi sokongan padu keapada PAS memandangkan semangat yang dipamerkan wakil rakyat sebelum ini begitu memberangsangkan dan Allahyarham begitu dekat dengan penduduk. - mj _
Khir Toyo mahu hapus tol, kini jadi pejuang rakyat?
11:25 AMFri | May 29, 09 | 12:56:51 am MYT
KUALA LUMPUR, 29 Mei (Hrkh) - Kenyataan bekas Menteri Besar Selangor Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berhubung pemansuhan tol sesuatu yang 'ajaib' sama seperti Umno memboikot Pilihan raya kecil Penanti yang tidak pernah ada sejarah sebuah parti memerintah tidak turut serta bertanding.
AJK PAS Pusat Ustaz Idris Ahmaddalam satu kenyataannya memberitahu penindasan terhadap perjuangan membantah tol ketika beliau menjadi Menteri Besar tidak akan dilupakan dimana rakyat yang turut serta akan mendapat 'habuan' daripada pihak berkuasa seperti FRU antaranya terkena semburan gas pemedih mata, tangkapan dan asakan kasar.
"Apabila tidak jadi kerajaan, baru insaf bahawa memang tol tindas orang.
"Kami dibelasah oleh FRU, sembur gas dan minum air asid adalah harga yang kami bayar dalam perjuangan menentang dasar tol. Yang sokong tol ini ialah pemimpin Umno waktu berkuasa dan rakyat yang tidak tahu haknya sahaja," katanya yang mengulas kenyataan Khir dalam sebuah akhbar online.
Katanya perjuangan dan janji dalam manifesto untuk mengkaji balik dasar tol masih menjadi iltizam dan komitmen apabila Pakatan Rakyat memerintah Malaysia kerana memikirkan rakyat yang terbeban akibat tol.
Katanya sungguhpun ada di kalangan rakyat tidak memakai kereta dan tidak melalui jalan tol, tetapi rakyat yang miskin terpaksa menanggung beban akibar dari dasar kerajaan yang tindas rakyat melalui tol.
"Misalannya sayur sawi yang dibawa daripada Cameron Highland akan menjadi mahal kerana penjual sudah masukkan harga tol dalam harga sawi yang orang kampung beli.
"Inilah ekonomi seperti mata rantai, walaupun orang kampung tidak bayar tol, tetapi secara tidak langsung dia kena bayar tol," katanya. -azm _
Bawa balik Balasubramaniam, siasat semula akuan bersumpah
11:22 AMFri | May 29, 09 | 12:58:48 am MYT
KUALA LUMPUR, 29 Mei (Hrkh) - Angkatan Muda KeADILan Selangor menggesa agar pihak kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa segera penyiasat persendirian Balasubramaniam a/l Perumal yang masih berada di luar negara.
Gesaan ini adalah untuk membantu siasatan berkenaan kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu melalui Akuan Bersumpah bertarikh 1hb Julai 2008.
Ketuanya Khairul Anuar Ahmad Zainuddin mempertikaikan tindakan pantas pihak kerajaan yang begitu cepat meminta bantuan Interpol untuk mengesan dan membawa pulang Raja Petra Kamaruddin yang berada di luar negara sebaliknya dalam isu akuan bersumpah Balasubramaniam seolah-olah tiada berita dan perkembangan terkini.
"Kita juga membidas pihak-pihak tertentu yang mempolitikkan isu mengenai kembalinya ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) berkaitan membawa pulang bekas Ketua PKM ke Malaysia.
"Isu ini ditimbulkan hanya strategi politik 'desperado' sesetengah pihak Umno/BN yang berusaha membakar hati dan perasaan bekas anggota keselamatan,keluarga dan rakyat Malaysia untuk menyokong kembali Umno/BN yang semakin hilang sokongan dan dokongan rakyat Malaysia, " katanya dalam satu kenyataannya.
Beliau berharap penyiasat persendirian Balasubramaniam perlu dibawa pulang segera oleh kerajaan kerana akuan bersumpah yang pernah dibuatnya melibatkan individu yang sangat penting negara ini.
"Semakin melambatkan tindakan untuk membawa pulang selama itu juga nama baik individu yang sangat berprofil tinggi itu terus tercemar di peringkat nasional dan antarabangsa.
Katanya AMK Selangor berharap isu membawa pulang bekas ketua PKM ini tidak menjadi satu lagi isu sensasi politik pihak-pihak tertentu yang semakin hilang dari sokongan rakyat.
"Amat jelas isu ini sudah lama selesai dan tidak perlu ditimbulkan semula lagi. Kini rakyat Malaysia lebih bijak dan pintar dalam menganalisis sesuatu isu melalui perkembangan semasa revolusi maklumat global," katanya. - azm _
Dr Mansor umum 11 piagam untuk rakyat
11:21 AMFri | May 29, 09 | 1:08:06 am MYT
PENANTI, 29 Mei (Hrkh)- Calon Pakatan Rakyat Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti, Dr Mansor Othman mengumumkan 11 piagam yang bakal dilaksanakan jika rakyat memberi mandat kepadanya menjadi Adun Penanti 31 Mei nanti.
Beliau ketika membentangkan 11 piagam berkenaan menjelaskan, program pertama yang beliau akan laksanakan ialah mewujudkan Pusat Khidmat dalam masa 48 jam sebagai 'One Stop Centre' dan aduan daripada rakyat.
Selain itu beliau akan mengadakan e-mail aduan untuk membolehkan rakyat membuat aduan menerusi internet sepanjang hari di samping menjayakan hasrat dan amalan turun padang ke kampung serta meninjau dari dekat permasalahan rakyat.
Piagam itu juga menyebut bahawa beliau akan mendahulukan kebajikan rakyat serta membanyakan program kebajikan terutamanya membabitkan ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU) dan anak yatim.
Memberi bimbingan kepada pelajar dengan menwujudkan kelas tambahan secara percuma terutama pelajar miskin dan membina jaringan dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Institusi Pendidikan dan sebagainya merupakan sebahagian daripada Piagam yang diumumkan semalam.
"Saya akan lakukan yang terbaik untuk rakyat Penanti maka sebab itu saya dan parti telah menggariskan 11 piagam untuk tindakan, " jelas Timbalan Pengerusi KeAdILan Pulau Pinang itu dalam sidang media yang diadakan.
Menyentuh mengenai persoalan kenapa bekas Adun Penanti, Fairuz Khairudin tidak kelihatan langsung di Penanti, Mansor menegaskan, beliau kini berada di Australia dan tiada kesempatan turun berkempen.
Dalam pada itu katanya Pakatan Rakyat mengalu-alukan mana-mana pemimpin daripada PAS, KeADILan dan DAP supaya datang dan mendaftarkan diri di urusetia di Yayasan Aman sebelum bertugas menerangkan polisi Kerajaan Pulau Pinang atau membantu jentera sedia ada di semua Jentera Daerah Mengundi KeADILan (JDM).
Turut sama dalam sidang media yang diadakan di Yayasan Aman, Penanti ialah Pengarah Pilihanraya Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Saifudin Nasution Ismail dan Pengarah Komunikasi, Johnson Chong. - azm _
Kempen PRK Penanti, ahli MT KeADILan akan disiasat polis
10:41 AMFri | May 29, 09 | 8:56:10 am MYT
KUALA LUMPUR, 29 Mei (Hrkh) - Akibat berceramah sempena kempen pilihan raya kecil Dun Penanti, Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin telah diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bukit Mertajam pada jam 3.30 petang ini.
"Seperti dimaklumkan semalam saya dihubungi oleh seorang yang memperkenalkan diri sebagai Pegawai Penyiasat Kanan IPD Seberang Perai Utara. Memberikan 'arahan' untuk hadir memberikan kenyataan di IPD Bukit Mertajam secepat mungkin kerana wujud 'beberapa' laporan polis terhadap ucapan saya," katanya.
Badrul Hisham kemudian telah memaklumkan kepada pegawai itu akan hadir hari Jumaat (hari ini) oleh kerana semalam berada di Perak untuk berceramah dan selepas di Perak akan terus ke Kuala Lumpur.
"Namun kira kira 2.30 petang (28 Mei) dimaklumkan sekumpulan anggota Polis telah hadir di rumah saya di Bangi dan Seremban. Kira jam 7 malam pula dimaklumkan oleh adik ipar, Polis telah hadir dengan meminta disampaikan amaran supaya saya hadir esok juga ke IPD Bukit Mertajam kerana akan didakwa esok," katanya.
"Kehadiran anggota polis beruniform dan lebih dari sekali mungkin untuk menakutkan dan mengganggu.
Badrul Hisham disabitkan seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan seksyen 500 (1)(b) Kanun Keseksaan.
"Tidak gentar dengan 'ugutan' regim yang berselindung disebalik polis maka saya akan hadir pada (Jumaat/ 29Mei) 3.30 petang," katanya.
"Bn tidak bertanding tetapi terliur hendak masuk gelanggang. Masih ingat beberapa siri Pilihanraya Kecil yang lepas jika PAS bertanding maka keADILan akan dihalang buat program, tetapi di Penanti kali ini jelas PDRM/SPRM berat sebelah Umno diberikan permit buat program dan ceramah, malam tadi Umno buat program di Guar Perahu," katanya./wann_
Najib digesa batalkan lawatan sambut ulangtahun hubungan Malaysia-China - Kamarudin Jaffar
10:39 AMFri | May 29, 09 | 9:27:43 am MYT
KUALA LUMPUR, 29 Mei (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak digesa membatalkan lawatan ke China minggu depan sempena sambutan 35 tahun kerjasama Malaysia-China, kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar.
Ini kerana ia 'bertentangan' dengan penegasan kerajaan Malaysia yang menghalang tokoh komunis, Chin Peng dari kembali semula ke Malaysia, katanya.
'Dalam satu hal Malaysia menolak komunis, tetapi dalam satu hal pula seolah meraikan kerajaan (China) yang dahulu dikuasai komunis yang pernah membiayai pergerakan komunis, ini semua kita tahu," katanya kepada Harakahdaily hari ini.
Ini amat bertentangan, dan kerajaan Malaysia harus menyelesaikan pertentangan ini dengan segera membatalkan lawatan Perdana Menteri yang dijadualkan minggu depan ke China, kata Kamarudin yang juga ahli Parlimen Tumpat.
Sementara itu sumber menyatakan, Wisma Putra telah mengarahkan kenyataan berhubung lawatan Najib ke China yang bermula 2 hingga 5 Jun ini tidak dilaporkan akhbar.
Baru-baru ini kerajaan menyatakan tidak akan membenarkan Chin Peng kembali semula negara ini kerana ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap waris mereka yang terkorban semasa darurat dahulu.
Perdana menteri memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar di Putrajaya 27 Mei.
Sebelum ini, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan meminta kerajaan membenarkan Chin Peng kembali semula ke negara ini.
Teng dilaporkan berkata, bekas setiausa agung PKM itu yang kini tinggal di Thailand, hendaklah dibenarkan kembali ke Malaysia atas sebab-sebab kemanusiaan dan Chin Peng tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.
Pemimpin Gerakan itu juga berkata, keganasan komunis yang melampau seperti pada-pada tahun 50-an tidak lagi diamalkan dan komunisme di seluruh dunia termasuk di China dan Rusia telah mengalami transformasi serta kini sedang menuju ke arah perjuangan berasaskan ekonomi, lapor Bernama.
Chin Peng, 85, yang dilahirkan di Sitiawan, Perak dikatakan masih mempunyai saudara mara di Malaysia.
Permohonan beliau menerusi saluran undang-undang untuk menetap di Malaysia ditolak oleh mahkamah pada 30 April lalu.
Bagaimanapun, saranan tersebut dibantah oleh pelbagai pihak termasuk Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Turut membantah ialah Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali AlHabshee yang dilaporkan berkata kekejaman PKM di bawah pimpinan Chin Peng tidak boleh dimaafkan./wann _
Jangan terheret dengan permainan musuh - Salahudin Ayub
10:36 AMFri | May 29, 09 | 1:11:37 am MYT
KUALA LUMPUR, 29 Mei (Hrkh) - "Ulama menjadi teras kepimpinan PAS. Profesional sebagai tiang seri manakala aktivis parti pula sebagai paksi perjuangan. Salah satu patah, PAS akan tumbang. Bermakna janganlah kita terheret kepada permainan musuh untuk memisahkan kita."
Demikian petikan kata-kata peransang Ketua Pemuda PAS yang mengakhiri khidmat secara rasminya pada Muktamar Jun depan, Salahuddin Ayub berhubung kekuatan PAS selama ini mendepani cabaran dan asakan musuh daripada luar.
Katanya Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sudah menjelaskan dalam ucapan akhir dalam seminar, Jubli Perak Ulama di Taman Mewar tempoh hari bahawa tidak ada satu bentuk dikotomi antara ulama dan bukan ulama.
"Saya percaya dan yakin, kepimpinan ulama mesti terus dan diperlukan dalam parti. Dikotomi itu tidak perlu wujud.
"Insya-allah PAS akan kukuh, dan tidak ada sesiapa dalam PAS yang akan melakukan kerja-kerja jahil untuk meminggirkan kepimpinan ulama ini," katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Harakah di pejabat media itu petang semalam.
Dalam pada itu, beliau juga berharap anasir tidak sihat yang dimainkan oleh musuh tidak menular ke dalam sayap kanan parti itu dan mahu Pemuda PAS terus tampil sebagai wadah yang mempunyai agenda, gagasan dan idealisme yang segar untuk terus berada di hati rakyat pelbagai lapisan di samping membela isu-isu rakyat dan masalah sejagat.
"Jangan rosakkan Pemuda PAS dengan panggilan dan label-label yang dilemparkan oleh musuh kita tetapi tampil dengan pemikiran yang segar, kuat dan kontemporari," katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian. - azm
(Ikuti temubual khas Harakah dengan beliau dalam edisi Isnin yang akan berada di pasaran 31 Mei depan) _
Ideologi komunis, nasionalis perlu ditolak rakyat - Nik Aziz
8:14 PMThu | May 28, 09 | 1:42:20 pm MYT
KOTA BHARU, 28 Mei (Hrkh) - Tuan Guru Dato� Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan sebarang ideologi yang jelas bertentangan dengan akidah Islam tidak boleh diterima rakyat di negara ini.
| | |
Mursyidul Am PAS itu berkata, fahaman-fahaman yang jelas bertentangan dengan Islam termasuk komunis dan nasionalisme perlu ditolak.
"Mengapa kita takut sangat hal ini. Rakyat negara ini bukannya buta sejarah, kita seharusnya sedar. Fahaman komunis hanyalah sebahagian sahaja dari pelbagai fahaman.
"Orang komunis dan nasionalis sama sahaja seperti adik beradik kerana sama-sama menolak hukum Islam.
"Orang nasionalis tolak hukum Islam dan ambil separuh sahaja," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan bantuan Imam Al-Ghazali kepada 100 pelajar miskin di Dewan Teratai petang semalam.
Semalam Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak menjelaskan kerajaan tidak membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Ching Peng kembali ke negara ini kerana ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.
Sebelum ini Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Dato' Dr Teng Hock Nan dilaporkan meminta kerajaan membenarkan bekas pemimpin komunis itu pulang ke Malaysia.
Ketika negara dilanda darurat pada 1948 hingga 1960 kira-kira 2,500 orang awam dan 1,865 anggota pasukan keselamatan terbunuh angkara komunis.
Oleh itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menolak cadangan untuk membawa pulang bekas pemimpin komunis terbabit.
"Jangankan komunis perjuangan nasionalis pun saya tidak suka," katanya.
Menurut beliau kesengsaraan rakyat negara ini di zaman penjajah dan era keganasan komunis bukannya perkara yang boleh dilupakan begitu sahaja.
Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, rakyat negara ini sudah serik dengan tindakan komunis ketika zaman darurat dahulu kerana telah menyulitkan rakyat.
Kata beliau isu terbabit tidak usah diperbesarkan kerana banyak lagi perkara lain yang perlu diselesaikan termasuk krisis politik di Perak dan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman semakin terhakis.
"Kini rakyat didedahkan dengan pelbagai isu melalui blog-blog dan seharusnya mereka diberi peluang untuk berfikir secara matang kerana sejarah kezaliman komunis diketahui semua rakyat," katanya.
Ketika diminta mengulas cadangan supaya wakil rakyat PAS mengisytiharkan harta, khususnya calon-calon yang bakal bertanding pada muktamar tidak lama lagi Menteri Besar berkata, ia boleh dilakukan.
Namun beliau berkata, ia terpulang kepada mereka untuk melakukannya dan setahunya orang PAS bukannya kaya raya.
"Orang PAS ni mana ada harta sangat," ujarnya.
Abdul Latif yang juga Yang Dipertua PAS Kuala Krai berkata, terdapat tiga nama calon PAS yang telah disenaraikan pendekkan bagi mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil 14 Julai depan.
Katanya, tiga nama tersebut kini diserah kepada Badan Perhubungan PAS Kelantan untuk dipertimbangkan PAS Pusat.
"PAS Kuala Krai akan akur terhadap siapa sahaja yang menjadi calon nanti. Apa yang penting kita perlu bekerja lebih keras bagi mempertahankan kerusi tersebut," katanya. - mj _
Keluar beramai-ramai dan undi calon Pakatan Rakyat - Nik Aziz
8:11 PMThu | May 28, 09 | 2:23:31 pm MYT
PENANTI, 28 Mei (Hrkh) - Musyidul Am PAS, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengajak semua rakyat di Penanti sekali lagi memberikan sokongan penuh pada calon Pakatan Rakyat Dewan Undangan Negeri (Dun) N12, Dr Mansor Othman kerana kemenangan begitu penting demi kemajuan negeri.
| | |
Tanpa kemenangan sukar calon yang diamanah meneruskan agena yang menjadi prinsipnya sewaktu berkempen dan membantu Ketua Menteri dalam urusan pentadbiran serta memperkenakan beberapa strategi membantu meningkatkan hasil negeri.
"Marilah kita bersama-sama keluar tidak kira PAS, KeADILan, DAP, Umno dan lain-lain parti atau orang yang tidak berparti beri sokongan pada Dr Mansor. Biar Pakatan Rakyat menang untuk membolehkan pentadbiran berjalan dengan sempurna," katanya semasa berceramah di Kampung Guar Jering, Bukit Mertajam semalam.
Jangan sekali-kali terjerat dengan dakwaan mengatakan ridak payah turun mengundi berikutan sudah menang tanpa cabaran Barisan Nasional (BN) sebaliknya bertekad daripada hari ini lagi untuk terus menjatuhkan BN, katanya.
Kezaliman BN katanya tidak boleh dilupakan begitu sahaja kerana ia masih mengekalkan akta yang menjadi pelindung pada mereka.
"Buatlah keputusan dengan mengekalkan sokongan pada Pakatan Rakyat. Jangan ubah atau keliru dengan serangan halus BN supaya rakyat tidak turun mengundi. Bila kita ikut pasti kita kalah," terangnya dalam program anjuran Jentera Daerah Mengundi (JDM) Guar Perahu.
Dato' Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan turut menyeru mana-mana parti supaya bersama Pakatan Rakyat asalkan mempunyai titik persamaan dalam sesuatu isu.
Sejak kebelakangan ini keretakan berlaku pada BN di mana banyak parti komponen telah berani bersuara terutama di era kepimpinan Tun Abdullah berbanding Tun Mahathir dan kini Dato' Seri Najib terpaksa membendung daripada parah.
Pertikaman lidah berkaitan kemelut di Perak katanya, juga terdapat perbalahan apabila MCA dan Gerakan mahukan ia diselesaikan dengan menyerah mandat pada rakyat semula tetapi Umno tidak setuju bimbang rakyat menghukum parti tersebut.
Begitu juga dengan PPP yang kini berpecah dua dan mempunyai dua Presiden. Perpecahan itu menyaksikan perebutan kuasa antara yang haram dan sah, katanya.
Turut berceramah dalam program berkenaan ialah Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali dan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Inrahim.
Hadir sama ialah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man, Pengarah Pilihan raya KeADILan, Saifudin Nasution Ismail, Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ramai lagi. - mns_
Umno hasut pengundi di Penanti tidak keluar mengundi
8:07 PMThu | May 28, 09 | 2:51:25 pm MYT
PENANTI, 28 Mei (Hrkh) - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Azmin Ali mendedahkan adanya usaha sulit Umno di Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti untuk memastikan rakyat tidak turun mengundi pada 31 Mei ini dengan alasan KeADILan sudah menang setelah Barisan Nasional (BN) tidak menyertai pilihan raya kecil itu.
| | |
Katanya, rakyat di N12 tidak harus terjerat dengan usaha jahat Umno itu sebaliknya turun beramai-ramai menghukum BN yang zalim dan mengacau bilaukan politik di Perak.
"Umno sebenarnya teringin nak masuk pilihan raya tapi tak boleh sebab boss BN tak bagi sebab takut kalah. Bila dia dah bagi bendera putih dekat kita jentera Umno dah gelisah maka mereka merancang buat strategi buruk menyeru rakyat jangan keluar undi sebab KeADILan dan menang," tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak.
Jelasnya lagi, rakyat di Penanti usah tertipu atau termakan dakyah Umno dan BN itu tetapi kena kuatkan semangat turun ramai-ramai menyokong calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor Othman yang akan mengisi kekosongan kerusi Dun Penanti dan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.
Menyentuh mengenai peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertindak cepat bila ada laporan tentang Pakatan Rakyat dan tidak bertindak terhadap BN walaupun terbukti jelas, SPRM katanya, bekerja untuk BN dan mempertahankan hak BN bila tersepit. Mereka akan mencari berbagai alasan atau buat tidak peduli bila ada kaitan dengan kepimpinan mereka.
"SPRM jangan berat sebelah bila mendapat laporan sebaliknya kena bertindak tangkas bila ada laporan tentang kepincangan Umno dan BN," tambahnya.
SPRM sepatutnya, menjadi orang tengah yang adil dalam semua siasatanya tidak kira ia melibatkan orang politik mana sekalipun kerana salah tetap salah. - mns_
Mahfuz minta Muhyiddin kaji semula keputusan had ambil subjek SPM
8:06 PMThu | May 28, 09 | 5:11:07 pm MYT
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Hrkh) - Kerajaan diminta mengkaji semula keputusan mengehadkan setiap pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil 10 subjek maksimum mulai tahun depan.
| | |
Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar kepada Harakahdaily sebentar tadi mengulas isu tersebut.
Beliau mengharapkan kerajaan terutamanya Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengkaji semula kesan negatif terhadap keputusan itu.
"Pertamanya mengapa perlu kita menghalang kecemerlangan pelajar dengan hanya isu remeh iaitu persoalan biasiswa, berapa kerat sangat mereka yang ambil subjek sehingga 20, dan berapa ramai sangat yang daoat 20, tahun ini hanya Nik Nurmadihah seorang sahaja yang dapat 20 A," katanya.
Keputusan kerajaan ini lebih dilihat bersifat meminggirkan sekolah agama yang kebanyakan pelajarnya akan mengambil lebih 10 mata pelajaran, katanya.
"Ramai pelajar sekolah agama yang mengambil lebih 10 mata pelajaran kerana subjek teras dan subjek elektif (agama) yang mesti mereka ambil menghampiri jumlah 10, dan untuk membuka peluang mereka menerokai kerjaya lain selain dari bidang agama, mereka perlu mengambil subjek elektif lain seperti Fizik, Kimia dan sebagainya," katanya.
Sudah terbukti, pelajar-pelajar keluaran sekolah agama berjaya mendapatkan keputusan yang baik walaupun mengambil lebih 10 subjek, katanya.
"Saya bimbang pertimbangan ini hanya kerana masalah biasiswa dan lebih parah lagi jika ada muslihat politik sebaliknya.
"Kita lihat sahaja keputusan kerajaan menarik kembali bantuan perkapita SAR ketika kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu, akhirnya hanya kerana alasan SAR sarang pembangkang, ini satu helah yang kita akan lihat selepas ini buktinya, ini persepsi yang tak dapat dihalang," ujar Mahfuz.
Justeru beliau mendesak kerajaan mengkaji semula keputusan tersebut demi masa depan dan kecemerlangan pelajar.
Muhyiddin dalam satu kenyataanya hari ini berkata, beberapa perubahan akan dilakukan terhadap sistem pengredan SPM.
"Ia akan mempunyai banyak implikasi positif, satu yang pasti adalah para guru akan berupaya memberi lebih tumpuan terhadap bilangan mata pelajaran utama dan guru juga akan lebih khusus," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek Kompleks Pendidikan, Bandar Enstek di Nilai hari ini, lapor Bernama.
Muhyidin, yang juga menteri pelajaran berkata, daripada setengah juta pelajar yang mengambil SPM sebelum ini, kira-kira 48,000 pelajar mengambil lebih daripada 10 subjek./wann _
KDNK menguncup: Mahfuz tempelak Najib
8:02 PMThu | May 28, 09 | 6:00:37 pm MYT
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar menempelak Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan 1 negara kerana berbohong kepada rakyat.
| | |
Najib, tegas Mahfuz, telah berbohong kepada rakyat bila sebelum ini membuat kenyataan negara tidak akan terkena tempias krisis ekonomi yang sedang melanda dunia.
Dalam satu sidang media yang diadakan di pejabat PAS kawasan Pokok Sena beliau mencadangkan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Nazri Aziz mengusulkan kepada parlimen yang akan bersidang pada 15 Jun nanti supaya menghukum Najib dengan memotong gaji Perdana Menteri itu sebanyak RM10.00.
"Parlimen perlu menghukum Najib yang telah berbohong kepada rakyat mengenai keadaan ekonomi negara.
"Dato' Nazri yang menjaga hal ehwal parlimen perlu membawa usul tersebut bila Dewan Rakyat mula bersidang pada 15 Jun nanti," tegas Mahfuz.
Keadaan ekonomi negara kini berada ditahap kritikal bila Bank Negara mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menguncup sebanyak 6.2 peratus pada suku tahun pertama tahun ini.
Malah, tegas Mahfuz, Perdana Menteri telah mengakui KDNK negara akan mengalami pengucupan sebanyak 4 hingga 5 peratus sepanjang tahun ini.
Sebelum ini Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), menjangkakan ekonomi negara akan mengalami kemelesetan teknikal.
Keadaan ini jelas beliau membuktikan slogan Satu Malaysia Najib gagal kerana pencapaian negara telah meleset.
Mahfuz juga mendesak supaya kerajaan menyediakan satu kertas putih untuk dibahaskan di Parlimen mengenai keadaan ekonomi negara kerana apa yang dijelas oleh Najib hari ini tidak dibahaskan secara khusus.
Mengulas kenyataan Najib yang mengatakan KDNK negara akan mengalami peningkatan pada suku terakhir tahun ini, Mahfuz menegaskan perkara tersebut mustahil akan berlaku.
"Bagaimana ia akan pulih jika suka pertama dan kedua sudah mengalami pengucupan yang teruk?" soal Mahfuz.
Mahfuz juga bersetuju jika ada cadangan supaya menteri kewangan ditukar.
Beliau menegaskan perlunya seorang menteri kewangan yang bersifat terbuka dan bersedia menerima pandangan pihak lain.
Justeru, beliau mencadangkan kerajaan agar tidak mengharapkan ekonomi dunia pulih sebaliknya perlu berusaha sendiri bagi mengatasi masalah ini. - mns_
Takut debat: Pemimpin Umno sudah hilang semangat 'jantan'
7:58 PMThu | May 28, 09 | 6:30:20 pm MYT
KOTA BHARU, 28 Mei (Hrkh) - Adakah pemimpin Umno sudah dirasuk semangat Penanti, apabila hilang 'jantan' untuk berdepan dengan pemimpin Pakatan Rakyat di pentas terbuka.
| | |
Biar pun seribu alasan yang diberi, namun semangat keris bersilang pemimpin Umno hanya mampu dipersembah dalam rumah sendiri dan bukannya di medan tempur.
Mungkin inilah yang berlaku ke atas Naib Presiden Umno, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila menarik diri di saat-saat akhir sebagai panel Hujah anjuran TV9 malam semalam.
Mengikut jadual yang diuar-uarkan TV9, pemimpin Umno itu akan bertemu dengan Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dalam rancangan tersebut yang dikendalikan Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusof.
Pada awal tahun ini, seorang pemimpin Umno yang kini Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Dr Puad Zakarshi juga menarik diri daripada menghadiri wacana anjuran kerajaan negeri di Balai Islam.
Bekas jawatankuasa Umno Kubang Kerian yang enggan dikenali mengakui pemimpin Umno sekarang tidak lagi mempunyai semangat juang tinggi seperti pada awal zaman kemerdekaan.
"Kalau dahulu pemimpin Umno pantang dicabar dan akan tampil mempertahankan perjuangan mereka. Namun sekarang hanya ada beberapa orang sahaja yang berani antaranya Khairy Jamaluddin dan Dato' Shabery Chik.
"Rata-rata pemimpin yang ada hari ini hanya berani bercakap di hadapan tv dan dalam rumah tangga sendiri," katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya pemimpin muda yang ada sekarang hanya memperjuangkan agenda peribadi. Ia dapat dilihat selepas sehari dua menyertai Umno sudah bergaya dengan segala kemewahan.
Seorang penduduk dari Ketereh, Deraman Sidek, 43 berkata, ramai penonton rancangan berkenaan kecewa dengan tindakan Zahid yang enggan berdepan di platform terbuka membincangkan masalah politik wang.
"Orang ramai ternanti-nanti untuk mendengar idea dua tokoh hebat berkenaan sejak beberapa hari lalu," katanya peminat tetap rancangan Hujah.
Pada petang Selasa lalu Husam berkata, pengurusan TV9 telah memaklumkan kepadanya mengenai keputusan Menteri Pertahanan terbabit membatalkan penyertaannya pada saat-saat akhir.
Beliau bagaimanapun tetap hadir ke Sri Pentas sehingga jam 9.30 malam menunggu kehadiran Zahid.
Bagaimanapun bekas pengasas Gerak, Ezam Mohd Noor tiba-tiba muncul menjadi panel bidan terjun pada program tersebut.
Deraman berkata, Ezam bukan tokoh yang sepatutnya muncul pada program terbabit memandangkan hujahnya tidak ke mana-mana dan hanya sekadar syok sendiri. - mj_
Nasihat tidak mengundi, seruan Khairy menghasut - Dr Hatta
4:31 PMKUALA LUMPUR, 28 Mei (Hrkh) - Tindakan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang menasihatkan para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti tidak keluar mengundi Ahad ini dianggap keterlaluan dan bersifat menghasut.
Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli berkata seruan Khairy itu jelas menyalahi sistem demokrasi yang memberi kebebasan kepada rakyat untuk mengundi sekaligus memilih pemimpin mereka sendiri.
"Dia kata tidak mahu memperlekehkan institusi demokrasi negara ini tetapi seruannya jelas membuktikan, dia sendiri yang memperlekehkan sampai sanggup mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan itu.
Katanya sifat pengecut Umno itu sudah terbawa-bawa sehingga ke tahap 'bahaya' apabila cuba menasihatkan para pengundi yang sudah matang dan bijak berfikir setelah menyertai 12 pilihan raya umum dan kecil untuk tidak keluar mengundi.
"Saya minta pihak berkuasa. polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat kenyataan Khairy yang dilihat berbahaya, tidak demokratik dan tidak galakkan rakyat meneruskan amalan demokrasi yang sudah diguna pakai sejak sekian lama dan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada," katanya yang menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Khairy di sebuah akhbar hari ini yang menasihatkan pengundi tidak keluar mengundi kerana menyifatkan pilihan raya kecil yang diadakan di Penanti memperlekehkan institusi demokrasi yang diamalkan di negara ini.
Dr Hatta berkata, belum ada mana-mana pihak yang pernah memberi saranan seumpama itu sekaligus membuktikan Ketua Pemuda Umno itu sudah ketandusan idea untuk meraih sokongan sebaliknya mengunakan kaedah yang bertentangan dengan semangat demokrasi yang di dukung oleh semua rakyat dan Pakatan Rakyat.
Katanya situasinya pasti berbeza jika pihak Pakatan Rakyat yang mengeluarkan kenyataan seumpama itu dan sudah pasti pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas.
"Saya bimbang jika tidak dihalang dan tidak diambil sebarang tindakan, ianya akan berlanjutan sehingga ada pihak akan membuat ancaman ugutan pula kepada para pengundi.
"Kita tidak terkejut dengan tingkah laku parti yang cukup tertekan dan 'desperate' untuk melakukan apa saja untuk memastikan kekalahan Pakatan Rakyat yang kini mendapat tempat di hati seluruh rakyat di Malaysia ," katanya.
Sebelum itu, di Penanti 23 Mei lalu Dr Hatta menasihatkan sudah tiba masanya untuk rakyat dan penduduk Penanti 'bercerai susu' daripada Barisan Nasional (BN) dan tidak bergantung harap kepada parti yang sudah goyah dan tidak dapat menunaikan tanggungajawab kepada rakyat.
"Rupanya, tanpa BN di Penanti, kita menjadi lebih aman dan tenang. Sudah tiba masanya bercerai susu dengan BN yang tidak memberi manfaat pada rakyat.
"Kalau begitu tidak perlulah BN menyertai mana-mana pilihan raya supaya dapat mewujudkan suasana yang ada pada hari ini," katanya sambil disambut sorak sorai ribuan hadirin pada ceramah malam itu di Kubang Semang.
Pilihan raya Ahad ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara tiga calon Bebas dengan seorang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Empat calon tersebut ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Dr Mansor Othman, 59, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, bekas Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari, 41, dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.
DUN Penanti mempunyai 15,384 pengundi biasa dan 24 pengundi pos dengan 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, _
http://www.harakahdaily.net
Awasi pengundi hantu