KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
Labels:
AH1N1
SITUASI SEMASA INFLUENZA A(H1N1)
DAN TINDAKAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
14 Mei 2009
Sehingga 14 Mei 2009 jam 8.00 pagi Malaysia, Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO) memaklumkan tiada negara baru terjejas dengan
influenza A(H1N1). Jumlah keseluruhan negara terlibat masih kekal
33 buah. Kumulatif kes adalah sebanyak 6,079 kes influenza
A(H1N1) disahkan oleh ujian makmal dengan peningkatan sebanyak
792 kes berbanding dengan laporan pada hari sebelumnya.
Peningkatan ini dilaporkan di 9 buah negara iaitu di USA (734),
Canada (28), Panama (13), United Kingdom (6), Colombia (4),
Guatemala (2), Sepanyol (2), China (2 iaitu China Tanah Besar 1 dan
Hong Kong 1) dan Perancis (1). Dua (2) lagi kematian dilaporkan di
Mexico menjadikan keseluruhan kematian 63.
Sehingga kini WHO masih lagi mengekalkan tahap amaran Influenza
Pandemik di Fasa 5 semenjak 29 April 2009 dan TIDAK
menyarankan sebarang tindakan sekatan dari segi perjalanan,
perdagangan serta penutupan sempadan yang perlu dilakukan oleh
mana-mana negara bagi perlindungan kesihatan antarabangsa.
Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
sentiasa memantau situasi semasa berkaitan kejadian Influenza
A(H1N1) sama ada secara global ataupun di dalam negeri.
Justeru, orang awam dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan
antarabangsa ke luar negara yang dilanda wabak ini. Individu yang
baru kembali dari negara yang dilanda wabak influenza A(H1N1) dan
mengalami gejala-gejala seperti demam dan salah satu daripada
gejala berikut - batuk, susah bernafas, sakit badan, sakit kepala atau
sakit tekak, dinasihatkan untuk mendapat rawatan doktor. Disamping
itu, tiada risiko mendapat jangkitan influenza A(H1N1) sekiranya
daging atau produk babi disediakan dan dimasak secara betul.
Pada 13 Mei 2009 sehingga 12 tengah malam, Bilik CPRC
Kementerian telah menerima sepuloh (10) notifikasi kes dimana kes
tersebut dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh (6 kes),
Hospital Raja Permaisuri Bainon (2), Hospital Queen Elizabeth (1)
dan Hospital Umum Sarawak (1) bagi tujuan siasatan dan
pemerhatian. Sampel klinikal semua pesakit tersebut telah dihantar
kepada IMR untuk ujian makmal. Hasil ujian makmal didapati semua
kes disahkan negatif. Sehingga kini tiada kes influenza A(H1N1)
dikesan di negara kita.
Sebanyak 12,246 individu yang tiba dari negara terbabit telah
disaring. Daripada jumlah tersebut, 11,693 (95.5%) orang disaring di
pintu masuk udara, 236 (1.9%) di pelabuhan dan 317 (2.6%) di pintu
masuk darat. Tujuh (7) kes yang dirujuk ke hospital rujukan untuk
penyiasatan. Sehingga 13 Mei 2009, kumulatif penumpang udara
yang telah disaring di semua lapangan terbang antarabangsa
terkumpul seramai 72,912.
Sehingga kini 20 ‘thermal scanner’ telah dipasang. Scanner ini akan
mempercepatkan lagi proses saringan penumpang di pintu masuk
negara.
Bilik CPRC Kementerian Kesihatan telah menerima sejumlah 60
pertanyaan (55 panggilan dan 5 email) daripada orang ramai yang
bertanya berkaitan dengan nasihat perjalanan ke luar negara,
rawatan dan vaksin serta saringan.
Kementerian Kesihatan akan terus memaklumkan orang ramai
berkenaan situasi semasa wabak ini di seluruh dunia khususnya di
Negara-negara yang dilanda Influenza A(H1N1). Maklumat terkini
mengenai influenza A(H1N1) ini boleh diperolehi melalui laman
sesawang Kementerian iaitu http://www.moh.gov.my dan
pengumuman KKM melalui media dari masa ke semasa.
KKM ingin menegaskan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang
mengenai situasi influenza A(H1N1) di negara ini. KKM dengan
kerjasama semua agensi terlibat sentiasa meningkatkan pemantauan
situasi influenza A(H1N1) dalam memastikan tindakan proaktif diambil
bagi melindungi kesihatan awam penduduk Malaysia.
Sekian dan terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. HAJI MOHD ISMAIL MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
Tarikh: 14 Mei 2009
Post a Comment