PUTRAJAYA 4 Mei - Seorang pakar pengimunan memberi amaran wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) boleh bertukar 'garang' dan mengancam dunia pada bila-bila masa.
Pakar imunologi, Datuk Dr. Lim Thuang Seng berkata, walaupun penyebaran H1N1 telah menunjukkan tanda-tanda kelembapan penularan namun virus tersebut akan terus bergerak dalam perumah jangkitan dan mungkin bertambah 'garang'.
''Kita tidak boleh memandang rendah H1N1, ia masih baru dan keadaan ini mungkin menjadikan virus ini agak lemah pada peringkat awal.
''Sifat virus ini bagaimanapun akan mengalami perubahan mengikut masa, ia mungkin menjadi lebih 'garang' pada masa akan datang dan mengancam keselamatan dunia," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Thuang Seng pernah menjadi pensyarah imunologi di beberapa universiti terkemuka Amerika Syarikat dan menulis artikel akademik di pelbagai jurnal imunologi dan mikrobiologi.
Beliau berkata, kemunculan H1N1 membawa lembaran baru dalam dunia sains kerana buat pertama kalinya virus yang mempunyai gabungan unsur selesema manusia, babi dan burung telah ditemui.
''Keadaan ini bermaksud virus ini mungkin menular kepada wabak besar yang boleh saling menjangkit antara manusia, burung dan haiwan.
''Penemuan kes jangkitan daripada manusia kepada babi di Kanada baru-baru ini harus dijadikan iktibar mengenai betapa pentingnya usaha cegah penularan virus perlu dijalankan sebaik mungkin," katanya.
Beliau berkata, walaupun kerajaan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) boleh mencegah penularan H1N1 namun virus tersebut tidak boleh dibunuh dan akan terus aktif dalam perumah jangkitan.
''Saintis pula menghadapi pelbagai kesukaran untuk mengenal pasti perumah jangkitan untuk satu-satu jenis virus, saintis umpamanya masih gagal mengenal pasti perumah sebenar untuk virus Nipah yang pernah mengancam Malaysia.
''Ada yang mengatakan virus Nipah berumah di tubuh kelawar tetapi ia masih gagal dipastikan," katanya.
Tambahnya, walaupun penghasilan vaksin untuk H1N1 adalah penting namun vaksin tersebut mungkin tidak lagi mempunyai kesan mutlak ke atas H1N1 yang mengalami mutasi pada masa depan.
''Berita baik sekarang adalah negara seperti Amerika Syarikat mula memasuki musim panas iaitu musim yang kurang sesuai untuk penyebaran virus, keadaan ini memberi masa kepada saintis untuk menghasilkan vaksin," katanya.
Thuang Seng dalam pada itu mengkritik beberapa pihak yang memandang rendah usaha Kementerian Kesihatan untuk mencegah penularan H1N1.
''Ada orang menganggap usaha yang dilakukan kerajaan sebagai tidak perlu, mereka sebenarnya tidak faham tentang sifat virus.
''Tindakan Kementerian Kesihatan yang bertujuan melindungi keselamatan rakyat perlu disokong," katanya.
http://www.utusan.com.my
Post a Comment