KUALA LUMPUR 21 Jun - Satu lagi kes influenza A (H1N1) melibatkan seorang murid perempuan berusia 11 tahun dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, di sini disahkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 50 kes setakat ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, murid tersebut adalah rakan sekelas kepada kes terdahulu di sekolah berkenaan iaitu di Kelas 5(I), menjadikan pesakit H1N1 di sekolah itu kini tiga orang, dua daripadanya kes penularan tempatan.
"Kami akan memantau sekolah itu dari dekat bersama guru-guru dan PIBG," katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah tersebut di sini hari ini.
Sebelum itu, murid perempuan kelas yang sama disahkan menghidap penyakit itu pada pukul 6.30 pagi ini.
Menurut Tiong Lai, kedua-dua mereka duduk berdekatan (di dalam kelas) dengan murid pertama sekolah itu yang mendapat jangkitan H1N1 selepas melawat Melbourne.
Berikutan itu, beliau mengumumkan penutupan SJKC Jalan Davidson mulai Jumaat lepas sehingga 26 Jun depan sebagai langkah pencegahan penularan jangkitan penyakit itu dalam kalangan warga sekolah.
Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, semua murid, guru dan kakitangan sekolah tersebut perlu berada di rumah masing-masing dan mengelak bergaul dengan orang awam.
"Semasa tempoh kuarantin di rumah, mereka tidak dibenarkan menghadiri kelas tuisyen (bagi murid-murid), melawat tempat awam dan pergi ke majlis keraian".
"Semasa berada di dalam rumah, mereka juga dinasihatkan agar mengurangkan pergaulan dengan anggota keluarga lain yang tidak dikenakan arahan kuarantin itu," katanya.
Menurutnya, mereka yang dikenakan arahan kuarantin dikehendaki segera menghubungi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di talian 03-26983757 atau 019-2299397 sekiranya merasa kurang sihat atau demam.
Penutupan itu melibatkan kira-kira 2,100 warga sekolah berkenaan termasuk guru, murid dan kakitangan.
Tiong Lai berkata, kementerian turut menyediakan pasukan khas dan ambulans untuk mengendalikan pesakit influenza A.
Beliau mengingatkan mereka yang diarah menjalani kuarantin supaya tidak melanggar peraturan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan dan kesihatan orang ramai.
"Sesiapa yang melanggar peraturan Akta Kawalan Penyakit boleh didakwa di mahkamah dan dikenakan denda RM10,000 atau penjara atau kedua-duanya.
"Selain itu, soal sesi pembelajaran yang tertinggal selama seminggu itu bergantung kepada budi bicara guru besar sekolah terbabit sama ada perlu menggantikannya pada hari lain atau sebaliknya," katanya.
"Jangan langgar peraturan ini. Jangan paksa kerajaan guna akta ini untuk dakwa sesiapa," tegasnya. - BERNAMA.
http://www.myhealth.gov.my
Post a Comment